“Jangan Sesekali Cuba Perlekeh Peranan UMNO Hanya Kerana Kepentingan Politik Sempit”
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun membidas kenyataan Penasihat Dap, Lim Guan Eng yang melabel UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai, sambil menyifatkannya sebagai biadab, angkuh serta tidak menghormati semangat Kerajaan Perpaduan yang dibina bersama.
Menurut beliau, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak wajar, malah boleh mengeruhkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan ketika rakyat sedang mengharapkan kestabilan politik dan fokus terhadap agenda pembangunan negara.
“UMNO dan BN bukan parti kecil yang menumpang kekuatan mana-mana pihak. UMNO adalah parti yang mempunyai sejarah panjang dalam membina negara, mempertahankan kestabilan politik serta menjadi tunjang kepada pembangunan Malaysia sejak merdeka.
“Jangan sesekali cuba memperlekeh pengorbanan dan peranan UMNO hanya kerana kepentingan politik sempit.
“Jika benar mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, maka semua pemimpin perlu menjaga disiplin politik dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara parti-parti dalam kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) berkata, sikap menyerang rakan sendiri secara terbuka hanya memperlihatkan ketidakmatangan politik dan kegagalan memahami realiti pembentukan kerajaan hari ini yang diasaskan atas semangat kerjasama serta saling menghormati.
“Rakyat sedang menilai. Mereka muak dengan politik ego, politik provokasi dan kenyataan yang merosakkan perpaduan dalam kerajaan.
“Jangan kerana mulut seorang pemimpin, kestabilan yang sedang dibina bersama akhirnya tergugat,” ujarnya.
Tambah beliau, UMNO tidak pernah gentar mempertahankan maruah parti serta kepentingan rakyat, malah sentiasa konsisten dalam memastikan kestabilan politik negara demi masa depan Malaysia.
“Hormati rakan dalam kerajaan jika mahu dihormati. UMNO dan BN telah menunjukkan komitmen yang jelas dalam memastikan kestabilan politik negara demi kepentingan rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata UMNO dan BN telah menunjukkan komitmen yang jelas dalam memastikan kestabilan politik negara demi kepentingan rakyat dan masa depan Malaysia.
“Dalam suasana ekonomi dan geopolitik yang mencabar hari ini, apa yang rakyat mahukan ialah kestabilan, kerjasama dan fokus kepada agenda pembangunan negara, bukannya kenyataan berbaur provokasi politik.
“Kita perlu kembali kepada semangat asal pembentukan Kerajaan Perpaduan iaitu membina persefahaman, mengetepikan perbezaan serta mengutamakan kepentingan negara melebihi sentimen politik kepartian,” tegasnya.
Ujarnya lagi, setiap pemimpin perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian gabungan agar keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak terhakis. – UMNO Online
