UMNO Merentas Lapan Dasawarsa Demi Agama, Bangsa Dan Tanah Air – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tanggal 11 Mei 1946 adalah tarikh keramat lahirnya sebuah perjuangan besar bangsa Melayu yang terus bertahan merentasi zaman dan hari ini, genaplah usia UMNO yang ke-80.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bersyukur beberapa hari lalu semua ahli bersama-sama meraikan Sambutan 80 Tahun UMNO di WTC Kuala Lumpur sebagai tanda memperkukuh tekad untuk terus mempertahankan parti keramat ini.

Kata menerusi satu catatan di Facebook, kehadiran ribuan ahli dari seluruh negara, semangat yang ditunjukkan serta kesetiaan akar umbi yang tidak pernah padam benar-benar menyentuh hatinya dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara yang terus setia bersama perjuangan ini.

“Menjangkau usia 80 tahun, UMNO telah melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun. Kita pernah diuji dengan cabaran politik, perpecahan, persepsi dan perubahan zaman. Namun UMNO terus berdiri kerana kekuatannya bukan terletak pada nama semata-mata, tetapi pada jiwa perjuangan ahli-ahlinya yang tetap setia mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Sebagai Presiden UMNO, antara perkara yang paling menggembirakan saya adalah melihat semakin ramai anak muda memilih untuk bersama UMNO melalui pendaftaran keahlian secara dalam talian.

“Ini memberi isyarat bahawa UMNO terus bergerak seiring peredaran zaman dan masih diyakini sebagai wadah penting dalam mempertahankan kestabilan serta masa depan negara,” katanya lagi.

Beliau juga menambah bahawa perjuangan masih belum selesai.

“Masih banyak yang perlu kita bina, kita satukan dan kita perbetulkan demi generasi akan datang.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan kekuatan akar umbi, UMNO akan terus melangkah gagah menuju usia 100 tahun sebagai “Rumah Bangsa”.. rumah besar perjuangan bangsa.

“Selamat Ulang Tahun UMNO ke-80. Hidup UMNO!,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO