Johari Bangga Menjadi Ahli UMNO, Tidak Terhitung Jasa Parti Kepada Negara

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berasa berbangga menjadi seorang ahli UMNO, sebuah parti yang telah menjangkau usia 80 tahun pada hari ini.

Ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, UMNO merupakan sebuah parti yang telah banyak berjasa dan sudah tentu, jasa UMNO kepada negara ini tidak terhitung.

“Malah, kejayaan kita mengekalkan UMNO selama 80 tahun adalah hasil daripada perjuangan para pejuang terdahulu yang telah membina parti ini dengan asas dan fundamental yang sangat kuat, sehingga mampu bertahan hingga ke generasi hari ini.

“UMNO tetap kukuh, terus hidup dan wajar kita banggakan, walaupun parti ini melalui pelbagai fasa naik dan turun dari segi kekuatan politik,” katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke-80.

Begitu juga, Johor berkata semua ahli bertanggungjawab untuk memastikan parti ini terus mendapat kekuatan dan sokongan di setiap peringkat, sama ada bahagian mahupun cawangan.

“Ahli UMNO perlu terus bersatu bagi memastikan parti ini kekal relevan dan terus memainkan peranan sebagai sebuah wadah perjuangan yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO