RIMBUN 2.0 Himpun Suara Anak Muda, 25 Resolusi Dibawa Ke MKT UMNO
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pengerusi Biro Profesional Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad menegaskan RIMBUN 2.0: Kedaulatan Ekonomi Negara bukan sekadar forum perbincangan semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting dalam menghimpunkan idea, pandangan dan solusi berkaitan masa depan ekonomi negara khususnya melibatkan suara anak muda.
Beliau berkata, program berkenaan berjaya membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan serta cadangan konstruktif yang boleh diketengahkan kepada pembuat dasar demi memastikan agenda ekonomi negara lebih inklusif dan berpandangan jauh.
“RIMBUN 2.0 bukan sekadar forum perbincangan, tetapi menjadi platform menghimpunkan idea, pandangan dan solusi bagi memastikan suara anak muda serta rakyat terus dibawa ke meja pembuat dasar.
“Sebanyak 25 resolusi telah dihasilkan menerusi perbincangan RIMBUN 2.0 dan akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk diperhalusi serta dipertimbangkan.
“Semoga RIMBUN 2.0 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak perbincangan berkualiti dan penyelesaian realistik demi masa depan ekonomi negara serta generasi muda,” katanya.
Terdahulu, Mohd Syauqi melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program berkenaan yang berlangsung semalam dan merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepada Pemuda UMNO Malaysia dalam menjayakan platform wacana ekonomi anak muda itu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia khususnya Datuk Dr Akmal Saleh atas kepimpinan, bimbingan dan komitmen penuh dalam memastikan program berkenaan berlangsung dengan jayanya.
Menurut beliau, penghargaan turut diberikan kepada barisan panelis yang berkongsi pandangan, pengalaman serta idea bernas demi memperkukuhkan hala tuju ekonomi negara.- UMNO Online
