Musyawarah Nasional Perlu Jadi Makmal Pemikir Bangsa Tangani Keresahan Melayu
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Musyawarah Nasional perlu dijadikan sebagai ‘Makmal Pemikir Bangsa’, iaitu ruang untuk menguji fakta, memisahkan persepsi daripada realiti serta merumuskan tindakan berhubung keresahan orang Melayu ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional berkata, platform itu bukan sekadar medan membawa keluhan sebaliknya menghimpunkan akal, data, pengalaman dan keberanian untuk mencari penawar kepada ‘penyakit’ bangsa.

Beliau berkata, negara telah melalui fasa peralihan besar sejak 2018 yang menguji daya tahan rakyat susulan perubahan politik, tekanan ekonomi pasca-Covid-19, ketidaktentuan geopolitik, konflik dunia serta ledakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang mengubah cara manusia berfikir, berinteraksi dan membina masa depan.
“Dalam suasana inilah keresahan Melayu terbentuk. Ia tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi terkumpul sedikit demi sedikit melalui tekanan yang berpanjangan. Hari ini, keresahan itu bukan lagi sekadar persepsi. Ia menyentuh emosi, maruah, keyakinan dan persoalan besar tentang kedudukan bangsa kita di tanah air sendiri.
“Namun, apabila kita berbicara tentang keresahan Melayu, jangan sesekali disalahertikan sebagai penolakan terhadap perpaduan. Ini bukan soal perkauman. Ini soal tanggungjawab terhadap bangsa teras yang menjadi satu daripada tunjang kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional bertemakan ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’, di sini pada Ahad. – Bernama
