Program MARA Prihatin 2026 Perkasa Pendidikan, Kebajikan Rakyat

BAGAN DATUK, 9 Mei — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini menghadiri Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 di Bagan Datuk bersama masyarakat setempat.

Beliau berkata program MARA Prihatin menghimpunkan pelbagai inisiatif pendidikan, kebajikan, keusahawanan dan pembangunan komuniti bagi membantu rakyat yang memerlukan khususnya anak-anak muda dan keluarga yang sedang berdepan cabaran kehidupan hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh agenda pendidikan dan TVET berteraskan teknologi masa depan di samping memastikan bantuan yang disalurkan lebih bersasar, cepat dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan beberapa bantuan melibatkan pendidikan, kebajikan serta pembangunan komuniti kepada pelajar, keluarga dan masyarakat setempat termasuk inisiatif Yayasan Pelajaran MARA, GIATMARA dan Rural Capital Berhad.

Beliau berharap usaha seperti itu akan terus menjadi jambatan harapan buat rakyat dan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak untuk melakar masa depan yang lebih baik.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO