Label yang Merapu

Dalam tulisan panjangnya yang bertajuk “UMNO: Rumah Yang Dicabut Paku Lantai”rumusan yang boleh dibuat terhadap DS Haji Hadi (DSHH), Presiden PAS ini adalah UMNO menolak kerjasama bersama PAS kerana mahu bersama dengan PKR yang dilabel sebagai liberal dan DAP sebagai melampau sekular. Dengan itu UMNO juga dianggap sebagai parti yang meninggalkan prinsip perjuangannya.

1. Bab melabel orang atau parti lain ini tiada siapa yang dapat sangkal akan kepakaran DSHH. Daripada sebesar-besar label yang berkaitan akidah hingga label itik patah kaki. UMNO sudah mangli dengan label beliau.

2. Sejak bila PAS mengakui yang UMNO berjuang untuk agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia? Sebelum ini UMNO disifatkan sebagai “nasionalis sekular”, “politik jahiliah” atau tidak mengikut hukum Islam yang sebenar sehingga keluarnya Amanat Haji Hadi. Adakah DSHH baru sedar dan baru tengok dan tahu isi Perlembagaan UMNO?

3. Sekitar 2011, UMNO dianggap sebagai buah yang patut dijolok dan dijatuhkan. Galah yang tidak cukup panjang untuk menjatuhkan buah (UMNO) itu adalah DAP sebagai penyambungnya. Daripada kenyataan DSHH tersebut, tidak sedarkah PAS selama ini, yang hendak dijatuhkan selama 60 tahun itu adalah sebuah kerajaan pimpinan orang Islam/Melayu. Ketika itu PAS sanggup bersekongkol dengan parti yang dianggap liberal dan melampau sekular. Adakah parti ini berbeza ketika bekerjasama dengan PAS berbanding semasa bekerjasama dengan UMNO? Gigih sungguh PAS ketika itu. Mungkin PAS tidak sedar atau pura-pura tidak sedar kerana kepentingan politik PAS. Kalau kena kepada UMNO, sudah tentu ada hukum berkaitan menjatuhkan pemimpin Islam/Melayu. Sudah tentu ada dalilnya.

4. PAS hari ini bercakap seolah-olah mereka satu-satunya parti yang menjaga Islam dan Melayu. Hakikatnya, PAS ini jenis parti yang bila mereka buat menjadi halal, bila orang atau parti lain buat bertukarlah halal menjadi haram. Situasi sama seperti sekarang, suatu masa PAS menyerang UMNO kerana bekerjasama dengan parti yang dianggap kafir seperti Gerakan, MCA dan MIC. Hari ini kerjasama dengan Gerakan menjadi halal. MCA dan MIC pun dipelawa untuk duduk bersama. Malahan duduk bersama juga dengan Hindraf dan kumpulan yang dianggap mereka sebagai pelampau. Hukum berubah-ubah ikut kepentingan politik PAS. Kalau bekerjasama dengan parti bukan Islam dianggap “mencabut paku lantai”, kenapa PAS sendiri pernah buat perkara yang sama?

5. Jika dikatakan sekarang ini, UMNO mengangkat kedudukan DAP. Siapa sebenarnya yang lebih awal dan lebih lama mengangkat kedudukan DAP. Selama 12 tahun dan tiga kali PRU, PAS bersekongkol dengan DAP. Berpeluk cium dengan DAP. Perbagai dalil dibaca atas pentas untuk menghalalkan hubungan PAS-DAP ketika itu. Bukankah itu bermulanya kebangkitan DAP. Bermula dengan menolak kerjasama bersama UMNO kerana mahu memilih DAPlah yang menyebabkan kedudukan DAP dalam kerajaan Selangor kekal hingga hari ini.

6. UMNO digambarkan sebagai telah menggadai prinsip perjuangan. Buktikan, apakah tindakan UMNO dalam kerajaan hari ini yang dikatakan menggadai prinsip perjuangan terhadapa agama, bangsa dan negara?

7. Yang menggadai prinsip perjuangan adalah PAS. Semasa ‘berintiman’ dengan DAPlah perjuangan “Negara Islam” digugurkan dan digantikan dengan “Negara Kebajikan”. Adasesetengah pemimpin PAS menyerang orang UMNO dengan tuduhan kafir kerana tidak menyokong “Negara Islam” PAS ketika itu. Menggambarkan besarnya perjuangan PAS tentang “Negara Islam”, Dari pentas-pentas ceramah hingga ke cermin kereta diiklan tentang negara Islam. Mulai dari berkawan dengan DAP hingga hari ini, ada lagi “Negara Islam” jadi sebutan PAS? Langsung tidak didendangkan lagi. Jadi, siapa sebenarnya yang menggadai prinsip perjuangan?

8. PAS mempertikai kedudukan UMNO dalam kerajaan hari ini. PAS tidak nampak atau sengaja memejam mata? Kerajaan hari ini banyak berbeza dengan kerajaan PH 1.0. Ketika itu DAP sangat dominan. Kedudukan UMNO dalam kerajaan hari ini amat berjaya menyekat kemaraan DAP. Malahan dalam banyak hal yang berkaitan dengan kedudukan dan kemajuan orang Melayu yang dibawa oleh UMNO ianya tidak ditentang sebaliknya dipersetujui juga oleh DAP.

9. Kalau hendak melihat UMNO berkuasa penuh seperti dahulu, memang diakuilah kuasa UMNO dalam kerajaan tidaklah seperti dahulu. Kalau mahu melihat UMNO berkuasa seperti dahulu, kembalikanlah sokongan kepada UMNO.

10. Dalam segala hal hendak disalahkan UMNO kerana UMNO berada dalam kerajaan, mengapa PAS tidak menyuluh diri menyalahkan kepimpinan sendiri. PN yang mula-mula dijemput oleh YDPA untuk mencari rakan bagi membentuk kerajaan seleas PRU-15. Mengapa PAS yang menang banyak kerusi tidak mengambil tanggungjawab tersebut. Mengapa menolak mentah-mentah. Apabila pihak lain mengambil tanggungjawab, pandai hendak dipersalahkan dalam semua perkara. Betullah kata orang, PAS memang bijak membangkang. Mencari jalan penyelesaian dalam sesuatu isu, gagal.

Kesimpulannya, UMNO sentiasa mahu mengukuhkan kedudukan orang Melayu-Islam di negara ini sebagaimana tertera dalam Perlembagaan UMNO. Namun, Presiden PAS sendiri menolak “Rumah Bangsa” UMNO dengan pelbagai kiasan seperti “rumah berhantu” dan “payung buruk”, tetapi pada masa sama masih meratib Islam_Melayu terancam. Sebab apa menolak, tentu kerana tidak menguntungkan politik PAS!

RUZAINI RAIS

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO