Jangan Jadikan Isu ADUN Lantikan Sebagai Modal Serangan Politik
JOHOR BAHRU, 9 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah menyifatkan tindakan PKR Johor membantah cadangan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sebagai satu sikap hipokrit dan tidak konsisten.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah melaksanakan serta mempertahankan pelantikan ADUN lantikan di beberapa negeri seperti Sabah, Pahang dan Melaka, namun bertindak sebaliknya apabila pendekatan sama dicadangkan di Johor.

Menurut beliau, tindakan itu jelas menunjukkan amalan “double standard” dalam kalangan pemimpin PH yang menjadikan isu berkenaan sebagai modal serangan politik.
“Ketika PH melaksanakan dan mempertahankan pelantikan ADUN lantikan di Sabah, Pahang dan Melaka, ia dianggap sebagai langkah demokratik dan progresif. Namun apabila Johor mempertimbangkan pendekatan sama demi kepentingan negeri, tiba-tiba ia dituduh mencemarkan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Md Israk turut menegaskan bahawa PKR sendiri mempunyai ADUN lantikan di Sabah dan Pahang, manakala DAP sebelum ini pernah menyokong kuota wanita bagi ADUN lantikan di Sabah.
“Jadi mengapa apabila Johor mahu melaksanakannya, terus dijadikan isu politik? Jangan bila PH buat dianggap reformasi, tetapi bila Kerajaan Negeri Johor buat dianggap salah,” katanya lagi.
Beliau berkata, cadangan Kerajaan Negeri Johor itu dibuat mengikut lunas Perlembagaan dan mendapat perkenan Istana Johor, selain bertujuan memperkukuh institusi legislatif negeri serta membuka ruang kepada golongan profesional menyumbang kepada pentadbiran negeri.
Tambah beliau, rakyat Johor cukup matang untuk menilai pihak yang benar-benar konsisten dan pihak yang hanya memainkan sentimen politik demi kepentingan tertentu.
“Hari ini, isu ADUN lantikan dijadikan modal serangan politik, sedangkan merekalah yang pernah melaksanakan dan mempertahankan pendekatan sama sebelum ini,” ujarnya. – UMNO Online
