80 Tahun UMNO Bukti Ketahanan Perjuangan Demi Agama, Bangsa dan Negara — Najib
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Sambutan ulang tahun UMNO ke-80 menjadi simbol ketahanan serta kekuatan perjuangan parti itu dalam mendepani pelbagai cabaran politik dan perubahan zaman sejak penubuhannya.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata perjalanan lapan dekad UMNO membuktikan parti keramat itu terus relevan dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu, UMNO bukan sahaja berjaya mengharungi pelbagai cabaran, malah terus menjadi tunjang kestabilan politik dan pembangunan negara.
“Ulang tahun ke-80 ini bukan sekadar sambutan sejarah, tetapi medan untuk seluruh ahli memperkukuh semangat perjuangan dan memperbaharui tekad dalam memastikan UMNO terus menjadi wadah utama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata generasi muda parti perlu memahami sejarah perjuangan UMNO yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa serta kestabilan yang dikecapi hari ini.
Katanya, semangat perpaduan dan kesetiaan kepada parti perlu terus diperkasakan bagi memastikan UMNO kekal kukuh serta diyakini rakyat.
Najib turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pimpinan dan akar umbi yang terus setia bersama parti dalam memastikan perjuangan UMNO dapat diteruskan demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.- UMNO Online
