Semakan Kehakiman DNAA Presiden, Jangan Salah Tafsir — Nurulhidayah
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Keputusan mahkamah berhubung permohonan semakan kehakiman berkaitan kes DNAA Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah satu keputusan muktamad terhadap kes tersebut, sebaliknya hanya membenarkan ia diteruskan ke peringkat pendengaran penuh.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ramai pihak dilihat tersalah tafsir keputusan mahkamah seolah-olah Presiden UMNO telah “tewas” dalam kes berkenaan.
Menurut beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, mahkamah setakat ini hanya memberi ruang untuk hujahan penuh didengar dan belum membuat sebarang keputusan berdasarkan merit keseluruhan kes.

“Ia bukan keputusan bahawa DNAA dibatalkan, bukan juga keputusan bahawa Presiden UMNO bersalah. Proses undang-undang masih berjalan dan belum diputuskan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendakwa terdapat cubaan membentuk persepsi awam melalui laporan media tertentu yang menggambarkan seolah-olah berlaku “kekalahan politik” terhadap Presiden UMNO.
“Namun seperti biasa, naratif media tertentu cuba dibentuk untuk memberikan persepsi seolah-olah telah berlaku kekalahan politik terhadap Presiden UMNO, sedangkan realitinya ini hanyalah proses awal dalam perjalanan semakan kehakiman,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan mengapa tekanan terhadap isu DNAA Presiden UMNO dilihat begitu agresif berbanding beberapa kes lain sebelum ini yang tidak menerima tekanan persepsi dan desakan awam yang sama.
Nurulhidayah berkata, parti itu tetap menghormati proses mahkamah serta kebebasan institusi perundangan negara.
“Yang paling penting, UMNO perlu kekal fokus, bersatu dan tidak terikut dengan permainan persepsi yang sengaja mahu melemahkan semangat ahli-ahli parti,” katanya.
Beliau menambah bahawa perjuangan parti tidak akan terjejas hanya kerana laporan atau tajuk berita yang disensasikan.
Dilaporkan, semalam Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan perbicaraan kes Yayasan Akal Budi membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online
