Azalina Harap Semangat Perjuangan, Kebersamaan Terus Kukuhkan UMNO

PENGERANG, 8 Mei — Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap semangat perjuangan, kebersamaan dan khidmat kepada rakyat terus menjadi kekuatan utama UMNO bersempena sambutan ulang tahun ke-80 parti itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang merangkap Ahli Parlimen terbabit berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Pengerang bagi membincangkan gerak kerja parti serta agenda semasa di peringkat bahagian.

“Sempena sambutan UMNO Ke-80, harapan saya adalah semoga semangat perjuangan, kebersamaan dan khidmat kepada rakyat terus menjadi kekuatan parti keramat ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Pengerang atas komitmen berterusan dalam memperkukuhkan parti serta mendekati masyarakat setempat.

“Terima kasih kepada semua kepimpinan dan ahli jawatankuasa yang terus komited demi memastikan UMNO Bahagian Pengerang terus kukuh dan dekat dengan warga Pengerang,” katanya lagi – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO