UMNO Selangor Kekal Konsisten Junjung, Pertahan Institusi Raja Berperlembagaan
KUALA LUMPUR, 7 Mei – UMNO Negeri Selangor kekal konsisten menjunjung dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, kata Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.
Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan UMNO Negeri Selangor menyokong penuh kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor berhubung peranan dan tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

“UMNO Negeri Selangor menyokong penuh, menjunjung kasih dan menyambut baik kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei 2026 berhubung peranan serta tanggungjawab DYMM Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.
“Kenyataan tersebut amat penting dalam memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan DYMM Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan Baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
“UMNO Selangor berpandangan bahawa institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi merupakan sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti serta berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Ujarnya, semua pihak wajib menghormati dan memahami kedudukan serta peranan Sultan Selangor tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif.

“Justeru, semua pihak sewajarnya menghormati dan memahami kedudukan serta peranan DYMM Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah mahupun pandangan Baginda.
“UMNO Selangor juga ingin menegaskan bahawa kami kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat DYMM Sultan Selangor.
“Sebelum ini, UMNO Selangor turut konsisten tampil mempertahankan titah DYMM Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di Negeri Selangor yang cuba diputarbelitkan oleh pihak tertentu, selain mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej DYMM Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi Raja,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak untuk agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi kesultanan.
“Bagi UMNO Selangor, institusi Raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat dan benteng kestabilan yang wajib dipelihara serta dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar politik.
“Dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, UMNO Selangor menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan DYMM Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit.
“Tumpuan utama semua pihak seharusnya adalah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri dan memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online
