UMNO 80 Tahun: Mohd Hairi Hargai Jasa Pejuang Lama, Seru Anak Muda Teruskan Legasi
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perjalanan 80 tahun UMNO bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya satu sejarah panjang penuh pengorbanan dalam membina sebuah ‘rumah agam’ tempat orang Melayu berhimpun dan memperjuangkan kemerdekaan negara.
Menurut beliau, lapan dekad perjuangan itu wajar dihargai oleh generasi hari ini, khususnya anak muda yang mewarisi legasi besar parti.
“Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pejuang-pejuang terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh kepada UMNO sehingga kita dapat meneruskan perjuangan ini hari ini.
“UMNO kini hanya berbaki dua dekad untuk mencapai usia 100 tahun. Kita inginkan parti ini terus kuat sebagai rumah besar orang Melayu dan mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan tertinggi yang memperkenalkan gagasan ‘Rumah Bangsa’ dengan membuka seluas-luasnya mana-mana individu yang ingin kembali masuk ke rumah ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Hairi yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, mengalu-alukan kehadiran ahli baharu yang mendaftar secara dalam talian, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif terhadap penerimaan rakyat, khususnya golongan muda.
“Selamat datang kepada semua ahli baharu. Semoga kehadiran anda dalam rumah perjuangan ini akan terus membela nasib orang Melayu dan memperjuangkan hak orang Melayu sebagai rakyat Malaysia.
“Insya-Allah, anda tidak tersalah memilih parti yang telah berjasa besar dalam memerdekakan negara,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahil Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, menjelaskan bahawa gerakan pendaftaran keahlian yang digerakkan ketika ini menunjukkan impak memberangsangkan, dengan negeri Johor mencatatkan jumlah keahlian tertinggi dalam kalangan anak muda.
“Saya amat terharu dengan sambutan ini. Kita perlu terus mendekati dan menyantuni golongan muda, mendengar keluh resah mereka serta memastikan suara mereka diberi perhatian.
“Hari ini, anak muda melihat UMNO sebagai parti yang bukan sahaja dominan, tetapi juga responsif terhadap kehendak mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, kestabilan pentadbiran di negeri-negeri di bawah UMNO serta penstrukturan organisasi yang lebih tersusun, khususnya melibatkan sayap pemuda, menjadi faktor penting kepada kebangkitan semula keyakinan generasi muda terhadap parti.
Beliau turut memuji kepimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang disifatkan berjaya menyuntik semangat baharu dalam kalangan anak muda untuk kembali bersama perjuangan UMNO.
“Saya melihat satu anjakan luar biasa dalam kemasukan ahli muda. Ini membuktikan bahawa UMNO masih relevan dan terus menjadi pilihan generasi baharu,” ujarnya. – UMNO Online
