Johor Catat Hasil RM1 Bilion, Bukti Keyakinan Pelabur – Najib

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Peningkatan hasil negeri Johor daripada RM700 juta kepada RM1 bilion setakat 30 April lalu membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran serta hala tuju pembangunan negeri yang jelas dan progresif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata pencapaian tersebut menjadi petunjuk positif kepada pertumbuhan ekonomi Johor yang semakin kukuh di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, kejayaan itu turut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta perancangan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan dan memperkukuh ekonomi Johor.

“Peningkatan hasil negeri ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan pentadbiran dan hala tuju pembangunan Johor yang progresif serta berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Menteri Besar atas kepimpinan berwibawa dalam membawa Johor ke arah lebih maju serta terus melakar kejayaan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Terdahulu, Datuk Onn Hafiz memaklumkan Johor mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1 bilion setakat 30 April lepas, meningkat RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Menteri Besar Johor itu, kerajaan negeri komited memastikan setiap peningkatan hasil dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO