Jangan Terus Polemikkan Isu Yang Telah Dimuktamadkan Sultan Selangor

SHAH ALAM, 7 Mei – UMNO Negeri Selangor menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang polemik berhubung isu penternakan babi di negeri itu selepas pendirian rasmi mengenainya telah dimuktamadkan oleh DYMM Sultan Selangor.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, pihaknya menjunjung titah kenyataan media rasmi DYMM Sultan Selangor bertarikh 7 Mei 2026 yang secara jelas menegaskan bahawa aktiviti penternakan babi tidak dibenarkan dilaksanakan di mana-mana daerah di Negeri Selangor.

Menurut beliau, kenyataan rasmi Istana Selangor itu telah memperincikan pelbagai faktor penting yang menjadi asas kepada pendirian Baginda termasuk aspek pencemaran alam sekitar, risiko terhadap sumber air, kesan kepada kawasan tadahan air, nilai hartanah, penggunaan tanah yang terhad serta kepentingan menjaga keharmonian rakyat di negeri berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa pendirian DYMM Sultan Selangor bukan didorong oleh sentimen politik atau emosi semata-mata, sebaliknya dibuat secara teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh, kestabilan negeri serta kelangsungan sumber alam yang menjadi keperluan jutaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DYMM Sultan Selangor turut memberikan penjelasan yang seimbang dan rasional dengan mencadangkan agar bekalan daging babi bagi masyarakat bukan Islam diperoleh melalui import dari negeri lain seperti Sarawak, sebagaimana yang dilaksanakan oleh negara seperti Singapura.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dimuktamadkan dan tidak lagi memanjangkan isu tersebut untuk kepentingan politik tertentu.

“Selepas titah DYMM Sultan Selangor, kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor dan kini penegasan sekali lagi daripada pihak Istana Selangor sendiri bahawa isu ini perlu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya, maka semua pihak sewajarnya menghentikan sebarang cubaan mempolitikkan atau memanjangkan polemik ini,” katanya.

Mohd Zaidi turut berpandangan bahawa sebarang kenyataan yang cuba mempertikaikan atau memperkecilkan pendirian rasmi institusi negeri hanya akan mengeruhkan keadaan dan menimbulkan keresahan rakyat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa institusi Raja Berperlembagaan bukan sekadar simbol, sebaliknya merupakan elemen penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan kepentingan rakyat.

“Dalam suasana rakyat sedang berhadapan pelbagai cabaran kos sara hidup dan isu harian yang lebih mendesak, semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kestabilan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya terus menjadikan isu yang telah dimuktamadkan oleh DYMM Sultan Selangor sebagai polemik politik berpanjangan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO