Hentikan Provokasi, Label BN Tidak Boleh Dipercayai Melampau – Jamil Pauzi
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Md Jamil Pauzi menegaskan bahawa UMNO kekal berpegang kepada prinsip perjuangan dan tidak akan sesekali tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dalam kerangka kerjasama politik semasa.
Jelasnya, kenyataan Penasihat Dap, Lim Guan Eng yang melabel UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai adalah bersifat melampau serta tidak mencerminkan semangat sebenar Kerajaan Perpaduan.
Katanya, tuduhan tersebut juga memperlihatkan sikap ‘abang besar’ yang cuba mendominasi serta membuli rakan sekutu dalam gabungan, sekali gus menjejaskan keharmonian politik yang sedang dibina.
“UMNO berpegang bahawa setiap parti mempunyai hak demokrasi dan autonomi untuk menentukan hala tuju sendiri. Naratif ‘bergerak solo’ adalah hak mutlak sesebuah parti dalam menentukan hala tuju masa depannya.
“Tidak wajar untuk mana-mana pihak melabel keputusan politik rakan sebagai ‘tikam belakang’, kerana ia mencerminkan pemikiran sempit serta kecalaran logik politik yang amat dangkal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan agar pihak yang menuduh melihat kepada diri sendiri sebelum membuat sebarang dakwaan terhadap UMNO.
“Jika benar ingin menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan, hentikan provokasi berterusan, ‘cermin diri sendiri’ sebelum menuduh UMNO tidak telus. Keharmonian kerajaan ini terganggu daripada pemimpin Dap sendiri yang sering menyentuh sensitiviti rakan kerjasama.
“UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara, namun itu tidak bermakna kami adalah ‘pak turut’ yang boleh diatur sesuka hati untuk kepentingan politik pihak lain,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Guan Eng agar menghentikan kenyataan yang berpotensi memecah-belahkan kerjasama sedia ada.
“Jika niat untuk mempertahankan integriti pentadbiran, mulakan dengan menghormati rakan kerjasama, bukan dengan menghina atau merendahkan,” tegas beliau. – UMNO Online
