Reformasi Pintar JKR Perkukuh Infrastruktur, Utamakan Manfaat Rakyat – Ahmad Maslan
SEREMBAN, 6 Mei – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap projek pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Berucap merasmikan Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2026 di sini, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata pendekatan “Memacu Reformasi Pintar JKR” bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan usaha menyeluruh untuk meningkatkan kualiti pembangunan infrastruktur negara.

Menurut beliau, keutamaan Kementerian Kerja Raya Malaysia adalah memastikan rakyat terus menerima manfaat daripada setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Apa yang paling penting, keutamaan Kementerian adalah untuk memastikan rakyat terus menerima manfaat daripada setiap inisiatif pembangunan. Dalam apa jua keadaan, kita akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dalam suasana ekonomi global yang mencabar, kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan projek berjalan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
“Segala cabaran yang timbul akan ditangani secara strategik dan berhemah, termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta mempercepatkan proses kerja di lapangan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menyeru warga Jabatan Kerja Raya Malaysia supaya terus meningkatkan kecekapan teknikal serta mengadaptasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pelaksanaan projek dan pengurusan aset.

Katanya, penggunaan teknologi pintar seperti pemantauan masa nyata dan penyelenggaraan ramalan mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan sekali gus memberi nilai tambah kepada rakyat.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah membantu mengurangkan risiko kelewatan, pembaziran dan ketirisan dalam pelaksanaan projek,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan kepentingan penyelenggaraan aset sedia ada agar kemudahan awam kekal selamat dan berfungsi dengan baik untuk kegunaan rakyat.
Persidangan tahunan itu menjadi platform penting untuk perbincangan strategik dalam kalangan pegawai kanan JKR, termasuk aspek tadbir urus, teknikal dan pelaksanaan projek.
Ahmad menyatakan keyakinan bahawa hasil persidangan akan membawa penambahbaikan ketara dalam penyampaian perkhidmatan.
“Saya percaya segala perbincangan yang diadakan mampu diterjemahkan kepada idea inovatif yang memberi impak signifikan kepada jabatan dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
