80 Tahun UMNO: Antara Sejarah dan Masa Depan


80 tahun UMNO…
usia yang panjang,
jejaknya berlapis-lapis,
disulam oleh tangan yang tak pernah dikenali,
ditampung oleh hati yang tak pernah meminta dihargai.

di lorong masa yang jauh itu,
ada langkah yang terhenti,
ada arah yang pernah tersasar,
namun perjalanan tetap diteruskan…
dengan sisa percaya yang masih bersinar.

perjuangan ini pernah megah,
pernah juga jatuh menyentuh tanah,
mengajar kita erti bangkit itu lebih mahal
daripada sekadar berdiri tanpa luka.

hari ini dunia berlari,
tanpa menunggu kita memahami,
yang lambat akan tenggelam,
yang alpa akan hilang sendiri.

anak muda melihat tanpa beban sejarah,
mereka menilai tanpa simpati,
yang mereka cari hanyalah kejujuran,
yang mereka pegang hanyalah realiti.

kalau kita masih berteduh di bawah cerita lama,
kita akan dilupakan perlahan-lahan,
bukan kerana dibenci,
tetapi kerana tidak lagi diperlukan.

maka di persimpangan ini,
kita diuji untuk jujur pada diri,
memilih untuk berubah…
atau kekal selesa dalam ilusi sendiri.

kerana akhirnya,
yang menentukan panjang usia perjuangan ini,
adalah kepercayaan yang masih tersisa
di hati rakyat yang memerhati.

bersatu… walau berbeza suara,
bersetia… walau diuji tanpa bicara,
berkhidmat… walau lelah menjadi biasa.
80 tahun ini…
sebuah hela nafas yang panjang,
sebelum kita melangkah lagi,
dengan jiwa yang lebih rendah,
dan niat yang lebih terang.


– Salina Samsudin –

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO