Krisis Negeri Sembilan Bukan Isu Politik Tapi Institusi Adat
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan ketegangan yang berlaku di negeri berkenaan bukan berkaitan politik atau perebutan kuasa, sebaliknya melibatkan tanggungjawab hakiki sebagai Menteri Besar dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata sebaliknya ia berkaitan isu urus tadbir yang menyentuh sensitiviti institusi adat dan raja di negeri berkenaan.
“Persoalannya ialah bukan soal yang berkaitan politik, kuasa, n individu tetapi berkaitan dengan tugas hakiki sebagai Menteri Besar.
“Tidak boleh membiarkan krisis ini sehingga berlaku letusan krisis adat di Negeri Sembilan,” katanya.
Jalaluddin berkata demikian ketika ditemui media selepas berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, kelewatan menangani isu tersebut dibimbangi akan mencetuskan perdebatan terbuka di pelbagai platform media sosial.
“Apabila ianya berlaku, pelbagai perdebatan secara umum dilakukan di pelbagai platform, bermakna pelbagai pandangan dan persepsi akan dikeluarkan oleh masyarakat.
“Ada yang faham tentang adat, ada yang tidak faham maka pelbagai persepsi yang buruk akan menjadi perbincangan di media sosial.
“Ianya akan menjadikan kefahaman yang berbeza khususnya dalam kalangan anak-anak muda kita sehingga menjejaskan reputasi institusi adab itu sendiri dan itu Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO tidak ada pilihan, terpaksa mengambil tindakan yang sedemikian rupa,” ujar beliau. –UMNO Online
