‘Tindakan ADUN BN Negeri Sembilan Berasaskan Prinsip, Utamakan Rakyat’

KUALA LUMPUR, 28 April – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dayang Nurazlin Nordin menyifatkan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar tidak dibuat secara terburu-buru.

Menurut beliau, sebaliknya ia mencerminkan prinsip serta pendirian tegas dalam memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Saya ingin menyeru agar semua pihak menghormati pendirian yang telah diambil serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan rakyat.

“Sebarang kemelut yang timbul perlu diselesaikan secara berhemah melalui saluran yang betul, berlandaskan semangat muafakat dan tanggungjawab bersama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata beliau kestabilan politik sebagai asas penting dalam membina masa depan generasi yang bakal mewarisi negeri ini.

“Saya berdiri teguh bersama kepimpinan BN dalam usaha memastikan kestabilan politik negeri ini terus terjamin.

“Malah saya menyeru seluruh rakyat agar kekal tenang dan memberi ruang kepada kepimpinan untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaiknya demi masa depan negeri yang lebih stabil dan sejahtera,” ujar beliau.

Terdahulu pada semalam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut beliau tindakan itu dibuat selepas berlakunya krisis yang melibatkan institusi adat dan berperlembagaan di Negeri Sembilan, yang disifatkan semakin meruncing serta menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pentadbiran negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO