Program Digital Warnai Pra Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80
KUALA LUMPUR, 28 April – Program Executive Certificate in Digital Communications Leadership anjuran Penerangan UMNO Malaysia pada Isnin dilihat sebagai antara langkah penting dalam memperkukuh jentera parti menjelang sambutan ulang tahun UMNO ke-80 pada 11 Mei depan.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kepimpinan parti, malah mencerminkan kesediaan UMNO untuk terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap komunikasi politik masa kini.
Program julung kali diadakan ini menghimpunkan barisan pimpinan utama termasuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), ketua-ketua bahagian, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta ketua-ketua penerangan UMNO dari seluruh negara.
Sepanjang berlangsung, pelbagai pengisian disediakan termasuk sesi perkongsian bersama pensyarah serta penerangan berkaitan strategi komunikasi digital yang lebih efektif dan berimpak tinggi.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut berkongsi pandangan mengenai keperluan memperkasa naratif parti dalam era digital yang semakin mencabar.
Manakala ucaptama oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menekankan kepentingan kesatuan dan kesiapsiagaan jentera dalam memastikan parti terus kekal relevan dan diyakini rakyat.
Program ini menjadi pembuka tirai kepada rangkuman pelbagai aktiviti yang telah dirancang menjelang ulang tahun UMNO ke-80, termasuk program kepimpinan, pengukuhan akar umbi serta pendekatan mendekati golongan muda. – UMNO Online
