Pengiktirafan Lenggong UNESCO Global Geopark Harumkan Nama Negara
KUALA LUMPUR, 28 April – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan pengiktirafan status Lenggong UNESCO Global Geopark suatu yang bermakna, sekaligus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata lebih membanggakan, pengiktirafan terbaharu ini sebagai pelengkap selepas pengiktirafan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Pada 27 April 2026 jam 3.20 pm (waktu Paris) Lenggong Geopark menerima secara rasmi pengiktirafan status Lenggong UNESCO Global Geopark, setelah pengumuman rasmi dibuat oleh UNESCO pada 23 April 2026 lalu.
“Pada 2012 telah menerima status Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO, ia menjadikan Lenggong antara kawasan yang menerima dua status bertaraf antarabangsa dan di Semenanjung Malaysia Lenggong satu satunya kawasan yang menerima dua status bertaraf antarabangs.,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Turut hadir ke pengiktirafan tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan beliau amat bangga dengan pencapaian berkenaan dan komited untuk terus mempromosikan Lenggong sebagai destinasi pelancongan utama.

Tambahnya, usaha tersebut akan dipergiat melalui Majlis Pelancongan Lenggong, selain memperkukuh penglibatan komuniti tempatan dalam sektor keusahawanan pelancongan.
“Banyak program yang kita telah, sedang dan akan lakukan antaranya Geoschool Lenggong Geopark, Geoentrepreneur, Bangsawan Lembah Lenggong. Banyak acara dilaksana termasuk Lenggong Dialog 2026.
“Paling utama saya akan fokus menjadikan Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka dan kita telah lakukan langkah awal melalui lawatan akademi pada Mac 2026 lalu yang dianjurkan Majlis Pelancongan Lenggong bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark di mana UTM menjadi universiti awal membuka pusat kajian di Lenggong.
“Saya berhasrat mewujudkan Institut Lembah Lenggong dan melaluinya kita akan menarik pelbagai IPTA/IPTS termasuk institusi pendidikan luar negara dengan menjadikan Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka yang melalui pelbagai program pendidikan ke arah usaha menjadikan Lenggong tempat pelancongan pendidikan.
“Saya juga harap pihak kerajaan khususnya MOTAC akan membantu bangunkan infrastruktur pelancongan di Lenggong. Banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya bangga kerana langkah saya membawa Geopark ke Lenggong pada 2020 ketika menjadi Menteri Tenaga dan Sumber Asli sudah menampakkan kejayaan,” katanya. – UMNO Online
