UMNO Lahad Datu Sokong Gagasan “Rumah Bangsa”, Wadah Penyatuan Rakyat
LAHAD DATU, 27 April – UMNO Bahagian Lahad Datu menyatakan sokongan terhadap gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan kepimpinan parti sebagai platform merapatkan kembali hubungan antara rakyat dan memperkukuh perpaduan nasional.
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata pendekatan itu mencerminkan usaha parti untuk terus berada dekat dengan denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan masyarakat setempat.

“Sebagai pimpinan di peringkat akar umbi, kami diterapkan agar dapat menyelesaikan apa juga masalah berkait rakyat,” katanya.
Beliau berkata menjelang ulang tahun UMNO yang ke-80, parti itu masih kekal relevan di kawasan setempat apabila tiada aduan yang tidak diambil tindakan oleh pejabat UMNO Lahad Datu.
“Alhamdulillah, tiada satu orang pun yang datang ke pejabat UMNO Lahad Datu mengadu masalah dan pulang dalam keadaan kecewa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa konsep “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah bersifat inklusif dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik.
“Marilah bersama-sama menuju ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Presiden UMNO… bukan hanya khusus kepada individu tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan tersebut turut menjadi ruang untuk merapatkan semula hubungan dengan mereka yang pernah meninggalkan parti serta membuka peluang kerjasama lebih luas antara parti-parti Melayu dan Islam.
“UMNO kini menjemput semua pihak untuk kembali ke pangkuan, meraih dan merangkul mereka yang pernah meninggalkan parti, membuka ruang bagi kolaborasi agung parti-parti Melayu/Islam dalam satu wadah yang disebut ‘Rumah Bangsa’,” katanya lagi.

Sharif Musa turut menyifatkan gagasan itu sebagai usaha menyemarakkan semula semangat nasionalisme yang menjadi asas perjuangan UMNO sejak era kemerdekaan.
“Sesungguhnya konsep ini adalah lambang keberanian untuk menyemai semula semangat nasionalisme yang pernah menjadi nadi perjuangan UMNO menjelang kemerdekaan pada tahun 1957,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan parti hari ini memberi penekanan kepada agenda rakyat, agama dan negara dalam setiap tindakan dan dasar yang dilaksanakan.
Sebelum itu beliau telah mengadakan pertemuan bersama AJK Tanah Adat Tagupi dalam usaha mencari penyelesaian terhadap tuntutan mereka secara berhemah dan berterusan.
Ujarnya, asetiap gerak kerja yang dilaksana sentiasa berasaskan kepentingan rakyat. – UMNO Online
