‘Budak Catur’… Dua Kes Mahkamah Saya Lawan Pemimpin Dap – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 26 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Saleh membidas tohmahan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata beliau sekadar lantang bersuara terhadap Dap dan menjadi ‘budak catur’ Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Dr Akmal, beliau yang digelar ‘budak catur’ oleh Sanusi bukan sahaja lawan Dap di ceramah tetapi berhadapan dengan dua pemimpin parti itu di mahkamah.

“Jadi kalau sampai mahkamah kita lawan tapi YAB (Yang Amat Berhormat) Sanusi cakap kita budak catur, terpulanglah.

“Ingat datang Melaka ceramah tentang cadangan untuk bangunkan Melaka lebih baik dari BN (Barisan Nasional) buat sekarang, tapi ceramah kutuk orang sahaja rupanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Akmal turut memberi peringatan kepada Sanusi agar beri nasihat kepada Ahli Dewan Undangan Rembia (ADUN) Datuk Muhammad Jailani Khamis yang melompat masuk Pas, sebelum mengutuk orang lain.

“Nasihat dia jangan ponteng sidang dewan. Jumaat hari tu Speaker maklumkan YB (Yang Berhormat) Rembia m.c (cuti sakit) tiga bulan sebab kaki retak, tapi malam semalam boleh datang ke ceramah Pas pula ya.

“Yang tanggungjawab pada rakyat untuk hadir dan bahas dalam sidang dewan dia tak nak buat, tapi ceramah Pas dia sanggup datang walaupun dalam m.c ya.

“Sidang Dewan Undangan Negeri ni empat hari jer dalam empat bulan, itupun dia ponteng. Mungkin ceramah Pas lebih penting dari tanggungjawab hakiki kepada rakyat,” katanya lagi.

Seterusnya, Dr Akmal berkata ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak biar rakyat Melaka menilai siapa yang bekerja untuk rakyat dan siapa yang kaki ponteng, auta rakyat.

“YAB Sanusi, nasihat saya adalah Melayu ini perlu disatukan, bukan diperbodohkan dan kutuk sana-sini untuk pecahkan lagi orang Melayu ,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO