Rumah Bangsa: Usaha Perkukuh Semula UMNO Untuk Masa Depan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 24 April — Podcast ‘Hitam Putih Kelabu’ yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berpandangan bahawa gagasan Rumah Bangsa merupakan usaha memperkukuh semula parti untuk menghadapi cabaran masa depan.

Ujarnya, kekalahan dialami oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 memberikan kejutan kepada seluruh pemimpin dan ahli sehinggakan ada yang tersilap langkah serta bertindak meninggalkan parti.

“Untuk memahami kenapa Presiden mencetuskan idea Rumah Bangsa ini, kita harus faham akan latar bagaimana ia boleh berlaku. UMNO tidak pernah berada pada kedudukan menjadi pembangkang sebelum 2018. Apabila kita hilang kuasa, Ia bagaikan satu kejutan budaya di kalangan ahli daripada atas sehinggalah ke bawah.

“Mereka yang tidak dapat menerima hakikat, lompat parti dan menderhakai parti. Akhirnya kita berpecah belah sehinggakan daripada sebuah parti Melayu yang di dominasi oleh UMNO, kita terpisah dan terpecah kepada pelbagai parti politik baharu.

”Dari 2018 sehinggalah 2022, UMNO makin melemah kerana faktor dalaman dan ‘culture shock’ atas kekalahan. Selama ini, kita ada kuasa untuk menterjemahkan perjuangan kita. Tetapi apabila diuji dengan tiada kuasa … itulah ‘real test’ sama ada UMNO ini betul-betul berpegang kepada prinsip perjuangan agama bangsa dan tanah air ataupun sebaliknya,” katanya.

Jelasnya, kedudukan UMNO dalam landskap politik tanah air perlu diperkukuhkan demi menggalas perjuangan yang dilihat lebih besar daripada kedudukan dalam kerajaan.

“Dalam tempoh itu juga, Presiden parti melalui satu fasa yang berbeza dalam sejarah UMNO, iaitu tidak memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan dari 2018 hingga 2022. Selepas 2022, walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, beliau bukan peneraju utama. Keadaan ini berbeza dengan sejarah UMNO yang lazimnya menerajui kerajaan dan mencorakkan hala tuju pentadbiran negara.

“Situasi ini memberi kesan besar kepada parti. Namun, ia juga menjadi titik muhasabah kepada kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden, bahawa UMNO perlu kembali diperkukuh kerana perjuangannya jauh lebih besar daripada kedudukan dalam kerajaan.

“Fasa kejutan budaya itu akhirnya berlalu, dan ahli parti mula menyesuaikan diri dengan realiti baharu iaitu tidak lagi menerajui kerajaan seperti dahulu. Dalam masa yang sama, rakyat juga mula menilai … semua parti telah diberi peluang sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang,” katanya lagi.

Tambahnya, gagasan Rumah Bangsa yang membuka ruang tanpa syarat kepada pelbagai kelompok dilihat mampu mengukuhkan semula parti dengan menggembleng kekuatan dalaman.

“Walaupun UMNO kini sebahagian daripada kerajaan, prestasi menteri-menterinya tetap mendapat pengiktirafan. Antaranya termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said dalam usaha reformasi perundangan dan memperjuangkan kedaulatan negara di peringkat antarabangsa, selain tokoh lain seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

“Sehubungan itu, Presiden melihat keperluan untuk menguatkan semula parti dengan menggembeleng kekuatan dalaman. Asasnya jelas, UMNO sendiri mesti kuat. Atas dasar itu, beliau menggagaskan idea Rumah Bangsa, iaitu membuka ruang seluas-luasnya tanpa syarat kepada pelbagai kelompok: mereka yang dipecat, digantung, keluar parti, kecewa … dan generasi baharu yang mula memahami serta menerima perjuangan UMNO sebagai wadah orang Melayu.

“Kelima-lima kategori ini penting untuk disatukan dalam arus perjuangan yang sama. Matlamatnya bukan untuk individu atau kepimpinan semasa, kerana pemimpin datang dan pergi, tetapi parti perlu terus kekal kukuh sebagai institusi yang berstruktur,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa gagasan Rumah Bangsa merupakan ‘game changer’ besar untuk meletakkan semula UMNO seperti zaman kegemilangannya dahulu.

“UMNO telah melalui pelbagai pertukaran kepimpinan sejak penubuhannya, namun parti tetap utuh. Justeru, kekuatan tersebut perlu terus digembleng dan diperkasakan.

“Gagasan Rumah Bangsa ini dilihat sebagai satu langkah besar atau ‘game changer’ untuk mengembalikan UMNO kepada asas perjuangannya. Sejarah penubuhannya pada tahun 1946 sendiri memperlihatkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan yang menjadi payung kepada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), ulama dan individu.

“Persoalannya kini, selepas 80 tahun, mengapa tidak konsep itu dihidupkan semula?
Inilah yang dilihat sebagai antara hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Presiden dalam usaha memperkukuh semula parti untuk masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO