‘Rumah Bangsa’ Pemangkin Politik Penyatuan Demi Masa Depan UMNO – Mahadhir

KUALA LUMPUR, 24 April — Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman menyifatkan gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu tawaran baharu yang signifikan dalam landskap politik dan sosial negara.

Menurut beliau, konsep yang diketengahkan oleh UMNO itu bukan sekadar idea retorik, sebaliknya satu kerangka penyatuan yang lebih tersusun untuk merangkul seluruh rakyat Malaysia tanpa mengganggu kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia bukan sekadar satu idea baharu, tetapi satu ‘tawaran baru’ yang amat diperlukan dalam suasana politik hari ini. ‘Rumah Bangsa’ adalah payung besar yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang,” katanya kepada UMNO Online.

Mahadhir turut menegaskan bahawa pendekatan kepimpinan Zahid mencerminkan keterbukaan dan kebesaran jiwa dalam merapatkan kembali hubungan dengan pihak yang sebelum ini berbeza pandangan.

“Ini bukan soal siapa betul atau salah. Apa yang lebih penting adalah keutamaan untuk bersatu demi agama, bangsa dan negara,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, negara tidak boleh terus bergerak dengan pendekatan lama yang berasaskan perpecahan, sebaliknya memerlukan keberanian politik untuk membina jambatan antara pelbagai pihak.

“Kita perlu berani merapatkan jurang yang telah lama wujud. ‘Rumah Bangsa’ adalah langkah ke arah penyatuan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau juga melihat reaksi pelbagai pihak terhadap gagasan tersebut, sama ada sokongan atau kritikan adalah sebagai petanda positif kepada kematangan demokrasi negara.

“Hakikat bahawa ia mencetuskan wacana nasional menunjukkan rakyat semakin terbuka untuk berbincang secara matang tentang masa depan negara,” ujarnya.

Jelasnya, bersesuaian dengan persediaan bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), semua pihak perlu beralih daripada politik beremosi kepada pendekatan yang lebih berteraskan penyelesaian dan kestabilan.

“Politik masa depan harus berpaksikan kepercayaan, kestabilan dan penyelesaian, bukan lagi perpecahan,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-80 UMNO, beliau menegaskan bahawa parti itu perlu tampil dengan pendekatan yang lebih inklusif dan tegas dalam memainkan peranan sebagai wadah penyatuan rakyat.

“Inilah masanya UMNO menjadi ‘rumah bangsa’ yang bukan sahaja melindungi, tetapi memimpin penyatuan ummah dan seluruh rakyat Malaysia,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO