Resilient Asia 2026: Kesiapsiagaan Bersama Mendepani Dunia Yang Semakin Mencabar
KUALA LUMPUR, 24 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Malaysia perlu mempercepatkan usaha kesiapsiagaan bencana dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, khususnya akibat perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem.
Menerusi hantaran Facebooknya, maklumnya semasa berucap ketika merasmikan Resilient Asia 2026 malam tadi, beliau berkata ancaman yang dihadapi kini bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya memberi kesan langsung kepada keselamatan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

“Apa yang kita hadapi hari ini bukan lagi cabaran terpencil. Perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem telah memberi kesan langsung kepada rakyat, daripada keselamatan nyawa hinggalah kepada kestabilan ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, persoalan utama kini adalah tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menekankan bahawa pendekatan kesiapsiagaan perlu lebih pantas dan terselaras, dengan memanfaatkan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem amaran awal.
“Kesiapsiagaan perlu bergerak lebih pantas dan lebih terselaras. Teknologi seperti kecerdasan buatan dan sistem amaran awal mesti dimanfaatkan sepenuhnya supaya tindakan dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia terus memperkukuh keupayaan pengurusan bencana melalui NADMA dengan penggunaan data masa nyata serta pelaksanaan sistem amaran seperti Cell Broadcast System (CBS).
Dalam masa yang sama, kerajaan mempertingkat tadbir urus melalui penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) bagi memastikan penyelarasan lebih menyeluruh di peringkat nasional.
Tambah beliau, Malaysia juga bersedia memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik dan pusat rujukan dalam pengurusan bencana di peringkat serantau.
“Apabila semua pihak bergerak seiring, kita akan lebih bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya. – UMNO Online
