‘Rakyat Utamakan Kos Sara Hidup, Bukan Ladang Penternakan Babi’
KUALA LUMPUR, 24 April – Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor, Senator Datuk Rosni Sohar mempersoal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan berhubung cadangan pembukaan semula ladang penternakan babi yang didakwa sebagai mewakili suara rakyat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata sepanjang turun padang hampir setiap hari bertemu rakyat di pelbagai kawasan, perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan.
“Saya turun padang hampir setiap hari dan setiap minggu bertemu rakyat di pelbagai kawasan di Selangor serta seluruh negara.
“Terus terang saya katakan, setakat ini saya belum pernah mendengar rakyat menjadikan pembukaan semula ladang penternakan babi sebagai keutamaan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Rosni yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia malah berkata rakyat pada ketika ini menumpukan kepada isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka, khususnya melibatkan peningkatan kos sara hidup yang semakin dirasai.
Katanya lagi, wakil rakyat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak memperalatkan rakyat demi kepentingan kelompok tertentu.
“Rakyat yang saya temui bercakap tentang harga barang, kos sara hidup, peluang pekerjaan, banjir, jalan rosak dan masa depan anak-anak mereka.
“Justeru apabila ADUN Seri Kembangan mendakwa beliau hanya membawa suara rakyat, rakyat yang mana dimaksudkan? Adakah majoriti rakyat Selangor? Atau hanya sebilangan kecil kelompok tertentu?
“Wakil rakyat perlu jujur dalam membawa mandat rakyat. Jangan apabila sesuatu cadangan menerima kecaman, nama rakyat terus dijadikan perisai untuk
menutup kelemahan sendiri.
“Rakyat bukan alat politik bermusim. Jika benar mahu membawa suara rakyat, bawalah isu yang dekat dengan kehidupan rakyat. Selangor perlukan penyelesaian. Bukan polemik yang tidak menyelesaikan apa-apa,” ujar beliau. – UMNO Online
