Pendidikan Terus Jadi Keutamaan Pembangunan Mersing – Youzaimi
KUALA LUMPUR, 24 April – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof meneruskan politik khidmat bakti untuk rakyat dengan menyantuni masyarakat setempat melalui pelbagai program di kawasan.
Terbaharu beliau menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Bilik Guru Sekolah-sekolah DUN Endau 2026 yang bertujuan memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran berada pada tahap terbaik.
“Sudah masuk empat tahun program bantuan ini diadakan. Tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor. Saya turut mengumumkan sumbangan peruntukan RM5,000 kepada Kelab Warga Pejabat Pendidikan Daerah Mersing.
“Semua pengetua, guru besar dan wakil guru-guru daripada seluruh Dewan Undangan Negeri Endau, hadir untuk menerima bantuan ini.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah memberikan bantuan ini sejak daripada tahun 2023 lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Meskipun Syawal telah melabuhkan tirainya, namun sambutannya masih terus dirasai sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim antara umat Islam.
Dalam suasana penuh harmoni itu, beliau menerusi satu hantaran berasingan turut berkongsi kemeriahan Program Raya Sekampung Bangsa Johor di Kampung Sawah Dato’ yang berlangsung penuh meriah.
“Program Raya Sekampung Bangsa Johor Kampung Sawah Dato’ dimulakan dengan bacaan Marhaban beramai-ramai oleh jemaah masjid ini. Turut menyerikan program ini, dengan kehadiran Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.
“Pelbagai juadah makanan termasuklah satu lori durian untuk orang-orang Kampung makan disediakan oleh Tok Ahmad Sofi Daud Ketua Kampung Sawah Dato’ dan juga jawatankuasanya.
“Turut memeriah dan mencantikkan lagi Kampung Sawah Dato’ pada malam ini adalah pertunjukan bunga api yang sangat banyak dan hebat sekali,” ujar beliau. – UMNO Online
