Pendekatan Makmur Pahang Berteraskan Nilai Islam – Mohd Sharkar
KUALA LUMPUR, 24 April — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata pendekatan Kerajaan Pahang menerusi Inisiatif Makmur Pahang jelas memperlihatkan pentadbiran negeri tidak bersifat sekular, sebaliknya berpaksikan nilai dan prinsip Islam dalam dasar serta pelaksanaannya.
Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut selari dengan konsep maqasid syariah yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Menurutnya, dari sudut hifz al-din (memelihara agama), peruntukan besar bagi syiar Islam, bantuan haji serta pengukuhan institusi agama membuktikan agama menjadi teras utama dalam dasar pentadbiran negeri.
“Bagi hifz al-nafs (memelihara nyawa/kesejahteraan) pula, pelbagai bantuan kebajikan yang disalurkan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan hidup rakyat, selaras dengan tuntutan Islam yang menitikberatkan nilai rahmah dan keadilan sosial,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Mengulas hifz al-mal (memelihara harta), beliau berkata pengagihan sebanyak RM321 juta secara tersusun menunjukkan amanah dalam pengurusan harta awam, sekali gus memastikan kekayaan negeri dimanfaatkan secara adil kepada rakyat.
Dalam aspek hifz al-‘aql (memelihara akal), tambahnya sokongan terhadap pendidikan dan pembangunan insan dilihat mampu melahirkan masyarakat berilmu, berfikiran seimbang serta berteraskan nilai murni.
“Sementara itu, hifz al-nasl (memelihara keturunan) turut diberi perhatian apabila pengukuhan aspek kebajikan, agama dan pendidikan membantu membina masyarakat stabil serta menjamin kesejahteraan generasi masa depan,” jelasnya.
Jelasnya lagi, keseluruhan inisiatif tersebut membuktikan Kerajaan Pahang mengamalkan pendekatan pentadbiran yang menyeluruh dengan menggabungkan pembangunan, kebajikan dan penghayatan agama.
“Ini menegaskan bahawa dasar negeri tidak memisahkan agama daripada urusan pemerintahan, sebaliknya menjadikan Islam sebagai asas dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya. – UMNO Online
