BKJ Santuni Bakal Haji 2026, Cerminan Prihatin Kerajaan Johor
KUALA LUMPUR, 24 April — Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang kini diperluas bagi meraikan bakal jemaah haji tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, inisiatif terbaharu itu mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, termasuk dalam persiapan menunaikan ibadah haji.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama 67 penerima bantuan serta ahli keluarga bakal haji dalam satu majlis yang turut disertai dengan doa selamat.
“Program ini bukan sahaja memberi sokongan dari segi kewangan, malah turut menyuntik semangat kepada bakal jemaah haji agar lebih bersedia dari aspek rohani dan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut beliau, bantuan yang disampaikan merupakan cetusan keprihatinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam memastikan setiap lapisan masyarakat negeri itu tidak terpinggir daripada menerima manfaat pembangunan dan kebajikan.
Tambahnya, pendekatan turun padang serta interaksi secara langsung bersama penerima membolehkan kerajaan negeri memahami keperluan sebenar rakyat, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat.
“Inisiatif seperti ini memperlihatkan iltizam Kerajaan Negeri Johor dalam membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan Bangsa Johor,” katanya.
Beliau seterusnya berharap segala bantuan dan usaha yang dilaksanakan dapat memberi kelegaan kepada para penerima serta mempermudah urusan mereka dalam membuat persiapan menunaikan rukun Islam kelima itu.
Inisiatif BKJ sebelum ini telah memberi manfaat kepada pelbagai golongan sasaran dan pelaksanaannya yang berterusan dilihat sebagai antara usaha signifikan kerajaan negeri dalam memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. – UMNO Online
