Sistem Keahlian Online UMNO Buka Peluang Lebih Inklusif, Terus Perkukuh Parti – Mohd Zaidy

JEMPOL, 22 April – Langkah UMNO yang kini membuka satu lagi pendekatan baharu dengan memperkenalkan sistem pendaftaran keahlian secara atas talian bermula Isnin merupakan usaha memperkukuh akses serta memudahkan orang ramai menyertai parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan perkembangan semasa yang menuntut setiap organisasi politik bergerak seiring dengan kemajuan teknologi digital, khususnya dalam urusan pengurusan keahlian.

Menurut beliau, kaedah baharu itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi kemudahan kepada bakal ahli untuk mendaftar tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat atau cawangan parti.

“UMNO perlu sentiasa relevan dengan perubahan zaman. Dengan adanya sistem pendaftaran atas talian ini, kita bukan sahaja memudahkan proses keahlian, tetapi juga membuka ruang lebih luas kepada rakyat, terutama golongan muda, untuk turut serta dalam perjuangan parti.

“Ini adalah satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh organisasi parti. Kita mahu memastikan setiap proses lebih pantas, telus dan mesra pengguna,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak orang ramai, khususnya generasi muda, supaya memanfaatkan kemudahan tersebut untuk bersama-sama menyertai UMNO melalui platform yang telah disediakan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan sistem pendaftaran ahli UMNO secara dalam talian. Terdahulu beliau telah rancak merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan termasuk di UMNO Cawangan Felda Raja Alias 1, UMNO Cawangan Rompin dan UMNO Cawangan Felda Bukit Rokan Barat.

Katanya, mesyuarat agung cawangan merupakan platform penting dalam memperkukuh perpaduan ahli, menyusun gerak kerja serta merangka hala tuju perjuangan parti.

“Mesyuarat agung seperti ini amat penting sebagai medan memperkukuhkan perpaduan, menyusun gerak kerja serta merencana hala tuju perjuangan demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru agar ahli-ahli UMNO terus bersatu hati, memperkasakan jentera parti serta kekal istiqamah dalam mendepani cabaran semasa.

“Saya berharap seluruh ahli terus bersatu, memperkukuh jentera parti dan kekal istiqamah. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan serta dipermudahkan urusan,” ujarnya.

Tambah beliau, mesyuarat agung cawangan juga berperanan sebagai platform terbaik untuk memperkukuh semangat perjuangan serta merangka strategi lebih tersusun demi kelangsungan parti.

“Semoga UMNO terus kekal relevan, bersatu dan terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan keikhlasan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO