Penyertaan Anak Muda Bertambah … Pemuda Raub Terima 147 Permohonan Ahli Pemuda Baharu
KUALA LUMPUR, 22 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub, Mohd Kamil Ibrahim memaklumkan bahawa sambutan dalam kalangan anak muda terhadap perjuangan parti semakin memberangsangkan apabila sebanyak 147 permohonan keahlian baharu untuk Pemuda UMNO Bahagian Raub diterima setakat ini.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan satu pertemuan telah diadakan bersama Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pahang untuk memperkemas gerak kerja sayap itu pada Selasa.

“Semalam kami berada di bumi Temerloh, duduk semeja memperkemas langkah bersama. Kami tidak memilih politik yang hiruk-pikuk, apatah lagi menabur fitnah di media sosial. Itu bukan cara kita. Biar kerja bercakap, biar hasil jadi bukti. Orang sekarang tengok apa hasil yang kita buat, bukan apa yang kita kata.
“Dengan rendah hati, kami akui jalan ini sentiasa antara ideal dan realiti. Kita bukan kejar kuantiti kalau akhirnya longgar. Kita cari kualiti ibarat akar, diam di bawah tapi pegang kuat pohon di atas. Bukan daun banyak, tapi pada akhirnya berguguran.
“Visi kami jelas seiring dengan hasrat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mengangkat suara dan kepentingan anak muda. Ini kerana kita tahu bahawa harapan mereka yang akan mencorak masa depan Pahang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menyeru agar seluruh jentera Pemuda UMNO meneruskan perjuangan sehingga ke garisan penamat di samping meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya.
“Alhamdulillah, dapat khabar penyertaan anak muda dengan permintaan untuk menjadi ahli Pemuda UMNO makin bertambah. Di Raub sahaja sebanyak 147 permohonan baharu diterima sejak dua minggu lalu.
“Buat sahabat-sahabat Pemuda, teruskan sampai habis. Rapatkan saf dan jangan biarkan ada jurang. Kita buat ini bersama-sama hingga ke garisan penamat. Letakkan kepentingan parti dari segalanya,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan seramai 5,775 ahli baharu berjaya mendaftarkan diri sebagai sebahagian daripada keluarga besar UMNO melalui sistem pendaftaran atas talian yang mula dibuka pada Isnin.
Beliau mengucapkan penghargaan terhadap ahli baharu yang telah mengambil langkah menyertai UMNO dengan memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan.
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat telah meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara atas talian.
Selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. – UMNO Online
