KPK Akan Terus Komited Dengan Pendekatan Kolaboratif Bersama Pihak Kepentingan
KUALA LUMPUR, 22 April – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus komited dengan pendekatan kolaboratif bersama pihak berkepentingan untuk mengukuhkan sektor tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bersama wakil pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa.

“Saya telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bersama wakil pemimpin masyarakat dan NGO di Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Pertemuan ini memberi ruang yang cukup bermakna untuk kami bertukar pandangan dan memperkukuh jalinan kerjasama antara kementerian, pemimpin masyarakat serta NGO.
“Saya percaya, hubungan yang erat seperti ini amat penting dalam memastikan sektor perladangan dan komoditi negara terus diperkasa sebagai salah satu tunjang ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, beliau amat menghargai segala pandangan dan cadangan dikongsikan sepanjang pertemuan tersebut.

“Kami sempat berbincang pelbagai perkara, termasuk peranan kementerian dalam merangka dasar, pelaksanaan inisiatif semasa dan usaha berterusan untuk memastikan komoditi utama seperti sawit, getah kekal mampan serta berdaya saing di peringkat global.
“Lebih penting, saya amat menghargai pandangan dan cadangan yang dikongsikan oleh wakil masyarakat termasuk NGO, khususnya berkaitan isu di peringkat akar umbi termasuk kebajikan pekebun kecil serta pembangunan komuniti setempat. Suara mereka ini sangat berharga sebagai panduan dalam merangka langkah yang lebih inklusif dan berkesan.
“Insya-Allah, kementerian akan terus komited dengan pendekatan kolaboratif bersama semua pihak berkepentingan, agar sektor perladangan dan komoditi bukan sahaja kekal kukuh, tetapi juga mampu memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat serta negara,” katanya lagi. – UMNO Online
