UMNO 80 Tahun: Bangkit Semula Dengan Lebih Matang – Shah Zanuriman
KUALA LUMPUR, 21 April – UMNO bukan sekadar sebagai sebuah parti politik, tetapi sebagai institusi yang pernah membentuk arah negara dengan lebih tersusun.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, ulang tahun UMNO ke-80 ini bukan sekadar angka, ia adalah cerminan kepada ketahanan, kesilapan, pembelajaran, dan juga peluang untuk bangkit semula dengan lebih matang.

“Parti tidak boleh terus bergantung kepada legasi lama untuk meraih kepercayaan generasi baharu. Generasi hari ini lebih kritikal, lebih terbuka dan tidak mudah diyakinkan hanya dengan kisah silam semata-mata. Mereka mahukan bukti, tindakan dan hala tuju yang jelas.
“UMNO mesti membawa harapan baharu. Harapan yang lahir daripada kepimpinan yang berani membuat keputusan, berintegriti dan benar-benar memahami cabaran semasa seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan masa depan anak muda. Jika gagal menjadi simbol harapan, maka parti ini akan kekal hanya sebagai simbol sejarah,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan Pemuda UMNO amat penting untuk memastikan suara anak muda bukan sahaja didengar, malah diberikan ruang untuk membentuk masa depan parti.
“UMNO tidak boleh lagi dilihat sebagai milik generasi lama semata-mata. Parti ini mesti menjadi platform yang membuka ruang kepada kepimpinan baharu untuk tampil, diberi peluang dan diuji,” jelasnya.
Tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu, Pemuda UMNO kini berada di barisan hadapan dalam usaha melakukan perubahan, bukan sekadar mempertahankan parti, tetapi memperbaikinya dengan berani dan berprinsip.
“Sebagai wakil generasi muda, harapan kami jelas: UMNO mesti bangkit bukan kerana sejarahnya, tetapi kerana keberaniannya untuk berubah.
“UMNO mesti diyakini bukan kerana namanya, tetapi kerana tindakannya. Parti ini juga perlu kembali menjadi pilihan, bukan kerana tiada alternatif, tetapi kerana benar-benar layak memimpin masa depan negara.
“Selamat Ulang Tahun UMNO ke-80,” ujarnya lagi. – UMNO Online
