Malaysia-Uzbekistan Ada Potensi Besar Perkukuh Kerjasama Dinamik – Johari

KUALA LUMPUR, 21 April – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan Uzbekistan mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama yang lebih dinamik.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Uzbekistan ke Malaysia pada Isnin.

“Saya menerima kunjungan hormat daripada TYT Dr Karomidin Gadoev, Duta Besar Republik Uzbekistan ke Malaysia. Dalam pertemuan ini, kami menyentuh potensi memperluas kerjasama ekonomi sedia ada, termasuk usaha mempelbagaikan perdagangan melangkaui komoditi utama seperti minyak sawit, yang kini merangkumi kira-kira 50 peratus daripada eksport Malaysia ke Uzbekistan.

“Kami juga membincangkan jemputan ke Tashkent International Investment Forum (TIIF) 2026, satu platform penting yang menghimpunkan pemimpin industri global dan pembuat dasar untuk meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi, serta bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan forum ini untuk memperkukuh jaringan perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Tengah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa usaha untuk memperkukuh kerjasama dua hala itu selari dengan aspirasi memperluas jangkauan Malaysia ke pasaran baharu.

“Kami yakin Malaysia dan Uzbekistan mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama yang lebih dinamik dan saling menguntungkan, termasuk dalam meneroka bidang baharu serta meningkatkan nilai perdagangan dua hala.

“Usaha ini juga selari dengan aspirasi kami untuk memperluas jangkauan Malaysia ke pasaran baharu yang strategik dan berpotensi tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO