UMNO Ke-80: Terus Perkasa Kesatuan Akar Umbi, Perbaharui Iltizam Perjuangan
KUALA LUMPUR, 20 April – Menjelang ulang tahun UMNO ke-80 yang bakal disambut Mei depan, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Safwan Jaafar mengharapkan parti ini terus kekal relevan dan utuh sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan negara.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Star berkata sambutan ini bukan sekadar memperingati sejarah panjang perjuangan parti, sebaliknya menjadi titik penting untuk memperbaharui iltizam serta komitmen dalam kalangan seluruh ahli.
“Menjelang ulang tahun ke-80 UMNO, saya berharap parti keramat ini terus kekal utuh sebagai wadah perjuangan.
“Detik bersejarah ini bukan sahaja mengimbau perjalanan panjang penuh liku, tetapi juga menjadi pemangkin untuk memperbaharui iltizam dan komitmen seluruh ahli.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran politik yang semakin kompleks, UMNO tetap relevan dengan mendukung semangat perjuangan yang berteraskan prinsip, nilai dan kepentingan rakyat,” katanya
Katanya lagi keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa tanpa mengabaikan asas perjuangan merupakan kunci utama kepada kelangsungan parti.
Sementara itu Mohd Safwan turut sama menyentuh berkenaan gagasan Rumah Bangsa yang memperlihatkan sikap berjiwa besar kepimpinan parti membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama UMNO.
“Sempena tahun ke-80 penubuhan parti, kepimpinan parti berjiwa besar dengan meluncurkan Rumah Bangsa yang mana semua ahli yang dipecatkan dan digantung boleh kembali bersama UMNO tanpa syarat.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperkukuh kesatuan, meningkatkan kepercayaan rakyat dan memastikan perjuangan ini terus relevan serta dihormati,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
