UMNO ke-80: Legasi Perjuangan Perlu Difahami Generasi Baharu
KUALA LUMPUR, 20 April – Legasi perjuangan UMNO yang telah dibina selama hampir 80 tahun perlu dinilai dan difahami oleh generasi baharu khususnya anak-anak muda.
Bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob berkata, usaha untuk membangunkan anak bangsa banyak dipelopori oleh UMNO merangkumi pelbagai bidang termasuklah ekonomi dan pendidikan.

“Apabila dikatakan anak-anak muda sekarang tidak memahami perjuangan UMNO … ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau kita lihat, tidak ada parti melainkan UMNO yang memperjuangkan dan membina segala institusi ini. Saya ambil contoh, Majlis Amanah Rakyat (MARA). MARA ini adalah hasil daripada UMNO.
“Daripada MARA, lahir ramai pemimpin yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pembangunan modal insan. Melalui semangat perjuangan UMNO dan dasar pendidikan yang diperkenalkan oleh tokoh seperti allahyarham Abdul Rahman Talib, sistem pendidikan negara terus diperkukuh termasuk perkembangan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya (UM) dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Salah satu prinsip yang dipesan kepada saya sebagai antara pelajar terawal di UM ialah, ‘you are here representing the Malays’. Pihak universiti juga mengingatkan bahawa jumlah kami tidak ramai, jadi ‘you have to work together and get the rest to coordinate’.
“Jadi, saya pun bekerja kuat dan menjadi salah seorang pemimpin pelajar di UM. Kita tidak lupa apa yang dikatakan oleh menteri pada ketika itu bahawa ia adalah untuk masa depan Melayu. Bagi saya, masa depan Melayu memerlukan jaminan daripada UMNO ‘because the only big course’,” katanya dalam sesi temu bual di Facebook UMNO Online.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO berkata, FELDA juga merupakan salah satu usaha terbesar parti untuk membantu melonjakkan taraf ekonomi orang Melayu.

“Ada juga parti lain seperti Pas tetapi corak perjuangan mereka lain. UMNO ini lebih mempunyai nilai tersendiri. Kita tidak lupa bahawa yang paling penting ialah untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu sama ada dari segi ekonomi mahupun pendidikan.
“Saya nak bagi contoh yang paling besar. Melalui UMNO, tertubuhnya FELDA. Ini adalah organisasi yang paling besar di Malaysia hasil cetusan pemimpin-pemimpin UMNO. Kita tidak boleh lari daripada kenyataan ini. Ini adalah idea Allahyarham Tun Abdul Razak dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.
“Terdapat banyak lagi contoh lain. Ini semua ditubuhkan oleh UMNO untuk menolong bangsa Melayu,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.
Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
