RisSMart Grocer: Jambatan Penting Usahawan Desa, Pengguna Bandar

KUALA LUMPUR, 20 April – RisSMart Grocer yang dimiliki sepenuhnya oleh RISDA menjadi jambatan penting antara usahawan desa dan pengguna bandar, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia memaklumkan beliau telah menghadiri Majlis Perasmian RisSMart Grocer, disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada Ahad, saya berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian RisSMart Grocer, sebuah pasar raya milik penuh RISDA yang terletak di Kwasa Damansara. Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Turut bersama dalam majlis ini ialah barisan kepimpinan kementerian dan agensi termasuk Manndzri Nasib selaku Pengerusi RISDA, serta pegawai-pegawai kanan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Jelasnya, sasaran jualan sebanyak RM30 juta menjelang 2030 jelas mencerminkan keyakinan terhadap potensi besar produk tempatan.

“Dalam ucaptama, Timbalan Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pembukaan RisSMart Grocer yang dilihat sebagai satu platform strategik dalam memperkasakan pemasaran produk usahawan desa.

“Sasaran jualan sebanyak RM30 juta menjelang tahun 2030 yang digariskan melalui inisiatif ini jelas mencerminkan keyakinan terhadap potensi besar produk tempatan untuk menembusi pasaran lebih luas.

“Saya turut tertarik dengan penerangan disampaikan oleh Pengerusi RISDA mengenai ekosistem RisSMart yang dibangunkan khusus untuk membuka ruang kepada produk desa dipasarkan di bandar-bandar utama, khususnya di Lembah Klang. Usaha ini bukan sahaja memperluaskan akses pasaran, malah menjadi jambatan penting antara usahawan desa dan pengguna bandar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa RisSMart Grocer merupakan salah satu langkah ke hadapan yang signifikan dalam memperkukuh rantaian nilai produk desa.

“Dalam majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Pelan Strategik RisSMart 2030 dan menyampaikan Elaun Khas Pekerja Ahli Isi Rumah (Pekebun Kecil) sebanyak RM250 sebulan kepada tujuh penerima yang layak.

“Inisiatif ini pastinya memberi kelegaan dan sokongan tambahan kepada golongan pekebun kecil dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Secara peribadi, saya melihat RisSMart Grocer ini sebagai satu langkah ke hadapan yang signifikan dalam memperkukuh rantaian nilai produk desa. Semoga inisiatif seperti ini terus diperkasa dan memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti luar bandar serta ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO