PPBM Ditubuhkan Untuk Gantikan UMNO … Kenapa UMNO Dipersalahkan?

KUALA LUMPUR, 20 April – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Iqbal Jamal Jamaludin menolak dakwaan bahawa UMNO telah mengkhianati PPBM ketika kedua-dua parti bekerjasama mentadbir Kerajaan Negeri Perak selepas Langkah Sheraton.

Menurut beliau, tuduhan tersebut tidak berasas kerana PPBM sendiri ditubuhkan dengan matlamat untuk menggantikan UMNO.

“Bukankah tujuan PPBM ditubuhkan adalah untuk menggantikan UMNO? Kenapa kita yang dipersalahkan?”

Demikian tegasnya apabila mengulas mengenai tuduhan bahawa UMNO telah mengkhianati PPBM ketika bersama-sama memerintah Kerajaan Negeri Perak.

Menerusi hantaran video yang dimuatnaik melalui laman Facebook, Iqbal Jamal berkata, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah bertindak melantik Setiausaha Politik daripada kalangan Ketua UMNO Bahagian dalam Negeri Perak yang jelas mendahului Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Ketika Datuk Seri Saarani Mohamad menjadi Exco Kanan, insan yang bernama Faizal Azumu menjadi Menteri Besar. Beliau telah mengambil, melantik seorang Setiausaha Politik daripada kalangan Ketua UMNO Bahagian dalam Negeri Perak tanpa berhadapan dan bersemuka dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

“Itu yang Ahmad Faizal Azumu cuba buat untuk UMNO Perak. Dia lantik seseorang daripada kalangan Ketua UMNO Bahagian dalam Negeri Perak tanpa memberitahu Pengurusi Perhubungan. Susah sangat ke? Beliau buat sistem pecah dan perintah untuk melemahkan UMNO.

“Apabila dia cuba melemahkan UMNO Negeri Perak … saya sebagai seorang Pengerusi Perhubungan Negeri, sebagai contoh, adakah saya nak duduk diam dan melemahkan UMNO? Dalam masa sama, beliau ketika itu cuba ‘mencuri’ lagi orang-orang penting dalam UMNO ini untuk bersama dengan PPBM,” katanya.

Mengulas lanjut, Iqbal Jamal menegaskan bahawa UMNO sentiasa mengambil pendekatan sederhana dan tidak pernah melampaui batas dalam hubungan politiknya.

“Jika ada pihak yang mengatakan UMNO mengkhianati PPBM, itu tidak benar sama sekali. UMNO hanya melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan parti.

“Kita adalah sebuah parti yang sederhana, terbuka dan sentiasa berusaha berlaku adil demi memastikan negeri ini terus aman, makmur dan bersatu,” katanya.

Untuk rekod, UMNO pernah memerintah Kerajaan Negeri Perak secara bersama dengan PPBM selepas Langkah Sheraton.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, beliau telah dilantaik sebagai Menteri Besar Perak namun hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sehingga terpaksa meletakkan jawatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO