MARA Teliti Langkah Sokongan Bantu Usahawan Terjejas Susulan Situasi Ekonomi Global
DUNGUN, 20 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang meneliti beberapa langkah sokongan bagi membantu usahawan di bawah agensi itu yang terkesan dengan cabaran ekonomi global akibat ketidaktentuan geopolitik pada masa ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara yang sedang diteliti adalah memperluaskan kemudahan pengurangan kadar sewaan premis kepada usahawan terlibat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata selain itu MARA akan menilai pelaksanaan penjadualan semula bayaran pembiayaan bagi memberi ruang kepada usahawannya menstabilkan kedudukan kewangan.
“Pada masa sama, kita tidak melupakan aspek pendidikan. MARA akan terus memperkukuh pelaksanaan Program Pendidikan BUDI MARA (BUD) bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk pelajar Moktob Rendah Sains Mara (MRSM) agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa kekangan kewangan.
“Langkah proaktif ini penting kerana dalam apa jua keadaan ekonomi, kita tidak boleh berkompromi dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus terpelihara. Jika seorang anak MRSM terkesan, seluruh ekosistem MARA mesti bangkit membantunya,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian MRSM Dungun di sini hari ini
Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Ahmad Zahid berkata usahawan yang terjejas diminta berhubung dan berbincang dengan pihak MARA bagi mendapatkan bantuan atau kelonggaran bayaran pembiayaan diberikon.
Namun, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap usahawan yang tidak terjejas tetapi mengambil kesempatan ke atas kelonggaran diberikan itu.
“Kita amat prihatin dengan usahawan yang dibiayai atau di bawah bimbingan MARA. Apatah lagi syarikat- syarikat kecil dan sederhana, kita akan mencari jalan sebaiknya,” kata beliau. – BERNAMA
