Kukuhkan DNA UMNO, Pertahan Tradisi Dan Legasi Parti – Suraya

PENDANG, 20 April – DNA perjuangan UMNO yang menjadi tunjang kekuatan parti sejak sekian lama perlu terus dipertahankan dan diwariskan kepada generasi baharu.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob yang telah menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Cawangan Teluk Wang, di sini, semalam.

Menurut beliau, semangat setia kepada parti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi, khususnya di peringkat Cawangan membuktikan bahawa UMNO masih kukuh dan terus mendapat tempat di hati rakyat.

“DNA UMNO ini penting untuk diteruskan. Ia bukan sekadar lambang sebuah parti politik, tetapi menjadi asas kepada perjuangan bangsa, agama dan negara yang telah dibina sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.

Suraya berkata, Cawangan Telok Wang menjadi antara contoh terbaik kepada kekuatan sebenar UMNO apabila sehingga hari ini tidak ada seorang pun ahli yang keluar daripada parti biarpun berdepan laluan yang mencabar dan parti ditohmah dengan pelbagai kata-kata.

“Di Cawangan Telok Wang, tidak ada ahli yang meninggalkan parti. Ini sesuatu yang cukup membanggakan dan menjadi bukti bahawa semangat serta keyakinan terhadap perjuangan UMNO masih kuat dalam kalangan ahli,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia berkata, perkara paling menarik mengenai cawangan itu ialah kekuatan DNA UMNO yang terus subur dalam jiwa setiap ahli, malah tradisi dan legasi perjuangan itu diteruskan daripada satu generasi ke satu generasi.

“Di sinilah kita dapat melihat bagaimana tradisi dan legasi UMNO diteruskan. Anak-anak mewarisi semangat ibu bapa mereka, keluarga terus bersama parti dan perjuangan ini tidak pernah terputus,” katanya.

Tambah beliau, kekuatan UMNO bukan hanya terletak pada sejarahnya, tetapi pada kesanggupan ahlinya untuk terus mempertahankan perjuangan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“UMNO telah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan menjadi kerajaan, tewas dalam Pilihan Raya Umum 2018, jadi pembangkang dan sekarang bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Namun, parti ini tetap berdiri kerana kekuatannya berada pada akar umbi yang setia, ikhlas dan sentiasa bersama parti. Inilah kekuatan sebenar UMNO yang letaknya pada anggota parti di samping organisasi mantap dan kepimpinan yang berdaya tahan,” katanya lagi.

Suraya turut melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan terus relevan dan mampu bertahan untuk tempoh yang panjang sekiranya semangat perjuangan dan kesetiaan itu terus dipupuk.

“Saya percaya UMNO akan terus hidup bukan sahaja hari ini, tetapi 80 tahun akan datang. Selagi DNA perjuangan ini dipertahankan, selagi itu UMNO akan terus kukuh dan menjadi wadah utama orang Melayu.”

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parti agar terus memperkukuh saf perjuangan, memelihara perpaduan dan meneruskan legasi yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu.

“Mari kita teruskan perjuangan ini bersama-sama. Aplikasilah mesyuarat Cawangan ini sebagai platform terbaik meraih kembali sokongan dan perkukuh kekuatan. Jangan biarkan semangat yang diwariskan kepada kita terhenti di sini. Kita mesti pastikan UMNO terus hidup, terus kuat dan terus menjadi harapan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO