Kuasa 83 Projek BALB Diserah Kepada Sabah, Bukti Kerajaan Persekutuan Bela Rakyat – Awang Aslee
BEAUFORT, 20 April – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menzahirkan penghargaan dan sokongan penuh terhadap langkah Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion kepada kerajaan negeri Sabah.
Beliau berkata, keputusan berkenaan membuktikan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memastikan masalah bekalan air yang sekian lama membelenggu rakyat luar bandar di Sabah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Saya salute Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keyakinan beliau terhadap kemampuan kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk melaksanakan projek-projek bekalan air luar bandar ini secara efisien dan berintegriti.
“Kita yakin kerajaan negeri mampu melaksanakan amanah ini dengan baik dan pastinya rakyat Sabah akan menikmati hasilnya,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Awang Aslee, penyerahan kuasa tersebut juga membuktikan wujudnya kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan isu bekalan air.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan bahawa daripada 83 projek BALB tersebut, sebanyak 37 projek kini berada pada peringkat pelaksanaan.
Beliau berkata, langkah pendemokrasian kuasa atau desentralisasi itu merupakan satu pendekatan baharu yang mampu menjadi ‘game changer’ dalam menangani isu kelewatan projek, sekali gus memastikan rakyat luar bandar menikmati bekalan air yang lebih stabil.
Mengulas lanjut, Awang Aslee berkata Sabah memerlukan kesinambungan kepimpinan yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita mahu melihat kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri.
“Kita perlu ketepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membangunkan negeri ini. Yang penting ialah memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi impak besar kepada rakyat.
“Rakyat Sabah perlukan pembelaan dan mereka berhak menikmati kemudahan asas yang sempurna, termasuk bekalan air yang stabil,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat memainkan peranan dan bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut berjalan lancar serta mencapai matlamat yang disasarkan. – UMNO Online
