Kemelut Negeri Sembilan: Hormati Adat Perpatih … Jangan Campuri, Bahas Secara Terbuka

KUALA LUMPUR, 20 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menggesa semua pihak terutamanya Pemuda UMNO untuk tidak mencampuri atau membahaskan secara terbuka tentang kemelut yang berlaku di negeri tersebut.

Ini kerana katanya, Adat Perpatih masih dipertahankan dan diguna pakai dalam beberapa aspek, maka ia perlu dihormati oleh semua pihak.

“Walaupun melalui permodenan, Adat Perpatih masih dipertahankan terutamanya dalam aspek adat istiadat, pelantikan pemimpin adat dan pengurusan harta pusaka rendah atau tinggi.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengambil maklum berhubung kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan sangat menghormati Institusi Adat yang telah bertapak semenjak ratusan tahun lalu di Negeri Sembilan dan menggesa kepada semua Pemuda supaya tidak mencampuri atau membahas secara terbuka tentang kemelut yang berlaku serta menghormati sebarang keputusan yang akan dibuat nanti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Jumaat, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, serta semua anggota Dewan Keadilan dan Undang telah menerima pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata penerimaan pemberhentian Mubarak itu dilakukan pada satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini, pada jam 10 pagi.

Pada sidang khas itu, beliau berkata, Tuanku Muhriz selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang, telah menguatkuasakan Fasal 24 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dengan mempersilakan Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu hadir ke sidang berkenaan.

Terdahulu, dilaporkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.

Menurut kenyataan rasmi pada akhir bulan lalu, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat diadakan pada 1 April 2025 di Telaga Undang Sungei Ujong.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa semua kesalahan berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut pihak berkuasa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO