Kemasukan Kembali Ke UMNO… Gelombang Penyatuan Hadapi PRN, PRU16

KUALA LUMPUR, 20 April – Penyertaan semula beberapa tokoh berpengaruh termasuk Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein dilihat sebagai suntikan besar kepada kekuatan UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menyifatkan perkembangan ini sebagai satu petanda positif yang mencerminkan kematangan parti dalam mengurus perbezaan serta memperbaiki kelemahan demi masa depan yang lebih kukuh.

Menurut beliau, UMNO mempunyai sejarah panjang dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan tidak wajar dinilai hanya berdasarkan kelemahan individu tertentu.

 

“Langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh barisan kepimpinan, malah memberi nafas baharu kepada jentera parti di semua peringkat, khususnya dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“UMNO tidak berdosa. Kalau ada kesalahan, ia membabitkan pemimpin dan perkara itu boleh diperbetulkan. UMNO telah banyak berjasa bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada seluruh rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kemasukan semula pemimpin berpengalaman bersama ribuan ahli lain menunjukkan kesungguhan untuk kembali bersatu, sekali gus memperlihatkan kekuatan sebenar parti yang berteraskan perpaduan.

Tambahnya, momentum ini amat penting dalam menghadapi cabaran politik semasa, di samping memastikan UMNO terus relevan sebagai tunjang kestabilan negara.

“Apabila parti bersatu dan bergerak seiring, keyakinan rakyat akan kembali. Ini akan memberi kelebihan besar kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa kekuatan dalaman UMNO juga membuka ruang kepada kerjasama politik yang lebih kukuh demi memastikan pentadbiran negara terus stabil dan berkesan.

Perkembangan ini sekali gus memberi gambaran bahawa UMNO kini berada di landasan tepat untuk bangkit dengan kekuatan baharu, berpaksikan pengalaman, kesatuan dan tekad untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO