UMNO Ucap Takziah Atas Pemergian Awadnir Matanggal

KUALA LUMPUR, 19 April – UMNO merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pengerusi Veteran UMNO Sabah, Allahyarham Datuk Awadnir Matanggal yang telah kembali ke rahmatullah.

Dalam satu kenyataan, kepimpinan parti menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar khususnya kepada barisan veteran UMNO di Sabah yang selama ini menjadi tonggak kekuatan serta rujukan dalam memperkukuh perjuangan parti.

Allahyarham dikenang sebagai seorang tokoh yang komited, berpengalaman luas serta sentiasa istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawabnya sepanjang bersama parti.

Sumbangan beliau dalam memperkasa organisasi di peringkat negeri amat dihargai dan akan terus dikenang.

Selain itu, keperibadian Allahyarham yang mesra serta mudah didekati menjadikan beliau disegani dalam kalangan ahli, khususnya generasi pelapis yang sering mendapatkan panduan dan nasihat daripadanya.

Sehubungan itu, Presiden UMNO bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi serta seluruh warga parti menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO