UMNO Perlu Diperkukuh, Perkasa Kesatuan Dan Disiplin Parti – Bekas MB Selangor
KUALA LUMPUR, 19 April – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menegaskan bahawa kekuatan parti perlu menjadi keutamaan dengan menghentikan budaya mempertikaikan kepimpinan secara berlebihan.
Beliau yang juga veteran UMNO seterusnya berpandangan bahawa parti itu ketika ini berada dalam landasan yang baik di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh ahli perlu memberikan sokongan padu demi memastikan parti terus kukuh.
“Saya fikir orang lain jangan banyak sangat karenah-karenah menyoal kepimpinan. Saya fikir UMNO sekarang dalam kepimpinan yang baik. Presiden yang dapat menyatukan parti. Jadi jangan banyak soal-soalan ni, banyak sangat mempersoalkan kepimpinan ni macam tu, kepimpinan ni macam ni. Sampai bila kita akan selesai? Lebih baik sekarang ni kita kuatkan UMNO. ‘We have to support’ UMNO. Dulu UMNO kuat. Bila UMNO kuat, parti kuat. Bila parti kuat, pilihan raya kuat. Dan dia boleh tawar-menawar dalam kerajaan.
“Kalau kita jadikan parti kita lemah, wakil kita dalam kerajaan pun seorang, macam mana kita nak kuat? Macam mana yang tawar-menawar kita dalam kerajaan akan jadi kuat? Oleh itu, kita jangan banyak sangat karenah-karenah. Ini sebenarnya melemahkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 pada 11 Mei depan. Wawancara berkenaan dikendalikan Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid.
Tambah beliau lagi, kesatuan dan disiplin dalam parti merupakan asas utama untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya serta memperkukuh kedudukan UMNO dalam kerajaan.
“We have to strengthen the party under Zahid. Zahid is the president, we must support the party, and we have to support the president supaya parti ni jadi kuat. Bila kita bertanding, kita menang. Jadi baru orang nampak yang kita ni ada strength, baru kita ada tawar-menawar, baru pemimpin kita jadi kuat. Pemimpin kita lemahkan, macam mana dia jadi kuat?” tambahnya.- UMNO Online
