Sekolah Patriotik: Generasi Muda Berpotensi Teruskan Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 19 April – Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan terhadap potensi besar generasi muda dalam meneruskan perjuangan parti melalui penglibatan aktif dalam program Sekolah Patriotik UMNO.

Menurut beliau, antara program yang sentiasa dinantikan adalah sesi Subuh berjemaah bersama para peserta, yang menjadi platform penting untuk mendekati serta berinteraksi secara langsung dengan anak-anak muda.

“Di sinilah ruang untuk saya bertemu dan berinteraksi lebih dekat dengan anak-anak muda yang mahu memahami serta menyelami erti sebenar perjuangan.

“Melihat kesungguhan dan komitmen mereka, saya yakin generasi ini mempunyai potensi besar untuk terus membawa perjuangan ke hadapan,” katanya.

Tambah beliau, perjuangan yang dibawa tidak pernah mudah dan memerlukan kekuatan jati diri yang berteraskan ilmu, adab serta prinsip yang kukuh.

“Seperti yang saya titipkan kepada mereka pagi tadi, perjuangan ini tidak pernah mudah. Berpegang teguhlah pada ilmu, adab dan prinsip. Insya-Allah, di situlah letaknya makna besar kepada diri dan perjuangan kita semua,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau turut menjemput lebih ramai anak muda untuk menyertai program tersebut pada sesi akan datang sebagai usaha berterusan memperkasa generasi pelapis parti.

“Kepada anak-anak muda yang akan menyertai program ini selepas ini, saya nantikan pertemuan kita pada sesi seterusnya,” katanya lagi. – UMNO Online 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO