Lima Generasi Pemuda UMNO Pekan Terus Perkukuh Parti
PEKAN, 19 April – Program Santai Raya Aidilfitri melibatkan lima generasi Pemuda UMNO Bahagian Pekan menjadi medan penting dalam memperkukuh ukhuwah serta menyatukan semangat perjuangan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Majlis yang berlangsung di perkarangan Rumah Andak Li, Chini 3 itu menghimpunkan pelbagai lapisan generasi dalam satu platform, sekali gus mencerminkan kesinambungan perjuangan UMNO yang terus relevan merentasi zaman.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali; ADUN Chini, Dato’ Shahrim Mat Zim; serta kepimpinan tempatan termasuk Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan, Dato’ Hajah Zalmah Abd Rahman dan Dato’ Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Dato’ Rahimi Abdul Samad berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan mengukuhkan sokongan khususnya dalam kalangan generasi muda terhadap parti.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Dato’ Mohamad Nizar Najib serta seluruh pimpinan yang hadir. Tujuan Lima generasi ini adalah untuk membantu UMNO Bahagian dalam meningkatkan sokongan orang muda kepada parti kita khas untuk PRU16, bukan untuk tujuan lain.
“Kita elakkan membawa agenda peribadi serta masalah peribadi ke dalam usaha ini. Insya-Allah dengan niat ikhlas, Allah SWT akan permudahkan segalanya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini menjadi titik permulaan kepada gerak kerja lebih tersusun dalam memperkasa jentera parti.
“Ini adalah permulaan. Idea akan dikumpul, kekuatan baharu akan dijana dan strategi akan diperkemaskan bagi memastikan UMNO terus melangkah dengan lebih tersusun, tajam dan bersedia menghadapi PRU16,” ujarnya.
Program Santai Raya Aidilfitri tersebut bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah membuktikan bahawa kesatuan dalam kalangan ahli dan kepimpinan UMNO Pekan kekal utuh serta komited dalam meneruskan perjuangan parti.- UMNO Online
