Kesetiaan Dan Kebersamaan KIMMA Kukuhkan Kestabilan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 April —Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kesetiaan dan kebersamaan merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) ke-46 yang menghimpunkan hampir 1,000 perwakilan dari seluruh negara.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, KIMMA telah lama menjadi rakan perjuangan dalam Barisan Nasional (BN) dan terus menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi.

“KIMMA telah membuktikan bahawa kesetiaan bukan sekadar ungkapan, tetapi diterjemahkan melalui komitmen dan kepercayaan yang dipelihara bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa BN kekal berpegang kepada prinsip kebersamaan dan kesederhanaan dalam menguruskan kepelbagaian dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kerjasama antara BN dan rakan-rakan komponen termasuk KIMMA akan terus diperkukuhkan berasaskan kejelasan pendirian serta matlamat bersama.

“Kerjasama ini penting demi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau yakin kesetiaan, keikhlasan dan komitmen semua pihak mampu memperkukuh kestabilan serta membina masa depan negara yang lebih meyakinkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO